Dalam dunia yang semakin terpesona dan teruja dengan kecanggihan kecerdasan buatan, tidak semua yang boleh dipermudahkan wajar jadi mudah. Pembuatan polisi, mahkamah dan keadilan, adalah antaranya—suatu medan empati, akhlak, dan pertimbangan nurani, yang tiada jalan pintas, tiada lorong belakang, tiada butang segera. Apabila AI bercita-cita nak ambil tempat sebagai perantara, akhirnya nanti: sejauh mana suara rakyat masih dapat didengari dengan jujur dan benar-benar manusia, dan bukannya data, corak, dan kebarangkalian semata-mata?
Pada tahun 2023, suatu revolusi senyap telah berlaku di Brazil. 36 penggubal undang-undang telah meluluskan suatu RUU ordinan berkenaan meter paip air, sudah tentu tiada apa yang istimewa. Namun, apa yang mengejutkan, RUU tersebut telah didraf oleh kecerdasan buatan (AI). Apabila mereka akhirnya tersentak bahawa AI dan algoritma telah membentuk satu undang-undang yang mengawal selia Bandar Porto Alegre dengan populasi 1.3 juta orang, semua mula melatah.
Di Amerika Syarikat, Senator Barry Finegold dan Wakil Rakyat Josh Cutler telah menggunakan AI untuk mendraf RUU bagi mengawal AI sendiri. Ini memang tak masuk akal, guna AI kawal AI. Dalam kes lain, dua orang peguam masing-masingnya telah didenda USD 5, 000 oleh Hakim Kevin Castel (New York) kerana menggunakan kes-kes merapu yang dihasilkan oleh ChatGPT (dikategorikan sebagai hallucinated information).
Penggubalan undang-undang, mahkamah dan keadilan; insiden-insiden ini, walaupun kecil di mata dunia, menuntut jawapan ringkas: adakah AI kini memiliki kerusi di pentas penggubalan undang-undang? Adakah AI kini boleh menjatuhkan hukuman? Adakah kita sekarang senyap-senyap di bawah telunjuk AI?
Ada yang pasti lantang bersuara, ini semua konspirasi semata-mata. Namun, saya sebagai seorang individu yang rapat dengan sejumlah pembuat dasar di Malaysia, berpendirian tegas bahawa kebangkitan AI di dalam penggubalan undang-undang bukanlah perkara asing. Ia bukanlah teori. Ia sedang berlaku. Penggubal undang-undang hari-hari menggunakan AI dalam merangka skrip bahas, menulis rangkuman bil, semakan statistik, dan menjangka corak-corak tertentu.
Namun, sejauh mana AI melingkari jari jemari undang-undang adalah suatu ruang diskusi yang perlu diperhalusi. Tetapi, seperti yang saya nyatakan, ia sedang berlaku, kadang-kala jauh ke dalam jiwa perundangan sehingga kita manusia melepaskan segalanya kepada AI (kerana alasannya, ia amat memudahkan). Dalam banyak keadaan, orang awam serba-serbi tidak tahu tentang capaiannya.
Perkembangan AI amat jelas membangkitkan kebimbangan: apa akan jadi jika kita membenarkan AI mengambil peranan bukan sahaja tugasan dan bebanan kerja, tetapi juga logik akal perundangan?
AI Sebagai Penggubal Undang-undang
Kecekapan AI tiada tandingannya dalam tadbir urus. Generative AI (AI Generatif), Large Language Model (LLM) Model Bahasa Berskala Besar dan Deep Learning (Pembelajaran Mendalam) semuanya menambah baik ketepatan kajian, keseragaman bahasa merentasi kertas-kertas dasar, dan menjimatkan masa berjam-jam lamanya dalam semakan silang Hansard di Parlimen Malaysia. Tenaga yang sebelum ini ditumpukan kepada meneliti tiap helaian muka surat, kini boleh dicurahkan kepada analisis corak, merangka cadangan dan mengenal pasti isu kritikal rakyat dan cara berdepan dengannya.
Sejak pertama kali konsep AI diilhamkan oleh Alan Turing pada 1935 dan diberi nyawa oleh saintis-saintis terkemudiannya, AI kini telah jauh memberi makna mendalam kepada institusi terpenting di Malaysia, diterjemahkan ke dalam kecekapan kita bertindak untuk mendepani isu-isu bina negara. Untuk ini, ramailah ahli-ahli Parlimen sorak tanda lega, sebab AI sekarang di hujung jari.
Walau bagaimanapun, kebimbangannya bukan pada AI memudahkan kerja kita atau tidak. Sekarang, ia memang pun menyenangkan kita. Persoalannya: apa yang mungkin kita rugi kalau kita terlalu bergantung pada AI?
AI melatih dirinya untuk mengenal pasti corak, mengimbangi maklumat, dan menjangka output yang paling dirasakan tepat berdasarkan statistik yang tersedia. Apabila ada equation yang diluar corak, ia tidak dapat menghasilkan output yang seragam. Ini secara jelas adalah proses teknikal.
Sayangnya, penggubalan undang-undang tidak seperti itu. Penggubalan undang-undang adalah suatu tindakan manusiawi, berasaskan elemen politik dan sosial, kadang-kala dipengaruhi ratusan dan ribuan tahun sejarah kestabilan tamadun yang adakalanya melampaui nilai-nilai moral zaman moden.
Apabila kita arahkan AI untuk mendraf undang-undang, ia akan bertindak mengikut apa yang dicorakkan sebagai lazim (pada hemat majoriti maklumat yang diterimanya) seolah-olah kita ini tiada identiti, boleh pukul rata. Dalam konteks itu, adakah penggubalan undang-undang bersandarkan suatu corak semata-mata?
Contoh: setelah Speaker Parlimen menerima lebih 3, 000 soalan pada tiap-tiap sidang, pertimbangan beliau dalam saringan soalan bukan hanya bergantung pada soalan yang sama, relevan ataupun lewah, saringan itu banyak juga dipengaruhi oleh niat satu-satu soalan itu. Kendatipun soalan itu sama, niatnya mungkin mahu membina perkaitan dengan konteks semasa, atau sebagai satu desakan untuk matlamat tertentu.
Maka, jika AI jadi tukang saring dengan alasan ‘kerja lebih cekap’, adakah jiwa demokrasi itu masih ada? Adakah suara rakyat nanti perlu bergantung ihsan pada AI? Adakah isu-isu politik yang amat penting untuk diketengahkan di dalam Parlimen, disisihkan bulat-bulat oleh AI semata-mata sebab soalan itu ada corak yang sama? Malah, tindakan itu sebenarnya berpotensi melanggar undang-undang tertinggi kita kerana AI tidak lagi jadi alat, tetapi gatekeeper antara rakyat dan demokrasi.
Kerakusan Jadi Hero
AI dilatih berdasarkan data-data terdahulu, apa yang sudah ditulis, apa yang sudah diterbitkan, bukannya apa yang dirasai. AI tidak boleh beremosi. Ia mempunyai had, walapun kita rasa ia hebat tanpa sempadan. Jika model AI itu dilatih berdasarkan maklumat-maklumat tertentu, maka keupayaannya adalah terhad pada batas-batas itu.
Saya suka anggap penjajahan AI adalah suatu perlumbaan membanjiri maklumat. Siapa yang lebih rakus melatih AI, dia menang dahulu. Jika seratus juta laman web menyatakan babi boleh terbang, maka berbondong-bondonglah AI meyakinkan kita bahawa babi boleh terbang. Hal ini berlaku apabila sesuatu maklumat salah itu disebarkan meluas dengan cara yang sungguh meyakinkan. (Walau bagaimanapun, ia tidaklah semudah ini, kerana AI ada protokol dalam tapisan maklumatnya.)
Tetapi, yang utamanya, keadilan dan kesaksamaan bukannya pada apa yang membanjiri maklumat dalam model LLM AI. Nilai-nilai manusiawi ini tidak bergantung harap kepada kerakusan itu semua. Nilai-nilai ini bukannya corak. Nilai-nilai ini tiada had-had keupayaan, ia seluas alam bagi manusia. Ia adalah batu asas kepada penggubalan undang-undang yang lebih berat ke arah deductive reasoning.
Deductive reasoning ialah keupayaan manusia untuk menyimpulkan sesuatu berdasarkan prinsip umum yang logik, satu bentuk pemikiran berstruktur yang memerlukan pemahaman terhadap hukum, sebab-akibat, dan pertimbangan nilai. Manusia mampu mengaplikasikan prinsip moral atau undang-undang kepada situasi baharu tanpa perlu melihat contoh terdahulu: sesuatu yang mustahil bagi AI. AI boleh bagi anggaran sahaja berdasarkan data lepas, tetapi manusia boleh menilai apa yang “sepatutnya benar” dengan rasional dan etika. Inilah yang membezakan akal budi manusia daripada mesin kebarangkalian.
Saya tanya ChatGPT tentang persoalan ini dan jawapannya: “AI does not “think” logically the way humans do. Instead, it uses patterns in data to produce responses that appear logical, based on probabilities.” AI sendiri sedar diri dia olok-olok logikal. Jadi, bersediakah kita untuk perjudikan nasib kita semua ke atas kebarangkalian?
Blindspot
Kekuatan AI terletak pada data yang dimuat naik untuk dipelajari (bukan difahami). Proses ini mencipta blindspot (titik buta) dalam pembelajarannya. Dalam Malaysia yang penuh resam disulami jalur keturunan yang berbagai-bagai, sehinggakan ada yang sukar untuk berhubung dari pedalaman, blindspot hanya akan menjadi lebih ketara untuk perkara-perkara yang terpinggir. Output akan lebih memihak kepada perkara-perkara yang rajin diutarakan. Seolah-olah, siapa yang wujud di dalam dunia maya sahaja yang berhak dipedulikan, dan siapa yang tidak, mereka tiada tempat dalam dunia baharu ini.
Dalam konteks keadilan, demokrasi, dan kesaksamaan di dalam negara pluralistik ini, blindspot ini amat bahaya. AI boleh jadi buta dan draf RUU yang utamakan majoriti sahaja, atau tidak ambil kira segmen demografi tertentu. Lebih parah lagi, AI boleh cadang RUU yang dipetik entah dari negara mana, tanpa memahami konteks semasa, sejarah negara kita, sensitiviti kaum, dan kestabilan sosial yang setengah mati kita pertahankan sejak sekian lama. Alasannya, data kata begitu begini.
Ancaman Kepada Pluralisme dan Identiti Politik
Parlimen Malaysia adalah pentas identiti. Wakil-wakil rakyat membawa cerita-cerita resam, budaya, kisah-kisah di lapangan yang diapit latar belakang ideologi yang begitu begini. Inilah identiti. Tetapi, kandungan yang dihasilkan melalui AI pasti tampak seragam. Nuansa yang ada, jika ada pun, mungkin terlalu dibuat-buat, ringkas dan tidak membawa makna. Orang kata, contoh yang datang entah dari mana-mana. Hallucinated facts.
Daripada semasa ke semasa, penggunaan AI akan menghakis kepelbagaian fikiran, gaya bahasa dan rentak dalam perbahasan. Kerisauan ini bukanlah pada kerja-kerja yang dipermudah oleh AI. Kita cuma risau sampai satu tahap, penggubal undang-undang yang ada boleh jadi dungu (atau brain rot), kerana hari-hari bergantung pada AI.
Bayangkan masa depan di mana skrip perbahasan di hasilkan oleh AI, RUU didraf oleh AI, soalan-soalan wakil rakyat ditapis oleh AI, menteri-menteri menjawab soalan-soalan tersebut juga menggunakan AI, ibarat AI berbual dengan AI — makna kata, manusia ini jadi apa? Wakil-wakil rakyat berucap, tetapi jadi boneka kepada corak dan kebarangkalian yang ditentukan AI. Dalam masa depan begini, Parlimen berisiko menjadi pentas text-to-speech semata-mata, tidak lagi sebuah ruang berprestij untuk menjulang demokrasi.
Perlembagaan Lebih Tinggi
Hal yang berikut perlu jelas: sebarang penggunaan AI yang menggantikan pembuatan keputusan oleh Ahli-ahli Parlimen, adalah bercanggah dengan Perlembagaan tertinggi di Malaysia. Kerja-kerja prosedural seperti mengagihkan RUU kepada jawatankuasa-jawatankuasa tertentu dan menyusun atur sesi, langsung tiada masalah. Tetapi, menggunakan AI untuk mempertimbang mana RUU yang diluluskan, ataupun mana soalan yang terpilih untuk dijawab, sayangnya telah melangkaui batas-batas Perlembagaan Malaysia.
Sistem demokrasi kita menjangkakan ketelusan, perbincangan bersama dan kebertanggungjawaban. Bilamana ada ahli Parlimen hanya melenggang menutur sambil lewa RUU yang didraf oleh AI, adakah mereka nanti bertanggungjawab terhadap kesan-kesannya? Bolehkah perundangan yang dihasilkan oleh AI dicabar di mahkamah? Jika boleh, siapa yang diadili nanti — penggubal undang-undang ataupun server?
Memahami Keadilan: Corak lawan Hati Nurani
AI tidak memahami keadilan. Maklum balas tentang keadilan yang kita kumpul di LLM AI semuanya adalah anggaran semata-mata yang dimuntahkan dek kerana adanya input-input kita sendiri. Ronald Dworkin kata, “keadilan itu sendiri bukanlah keseluruhannya tentang penggunaan peraturan, tetapi berkait dengan integriti moral.” Ia tentang kesaksamaan, penebusan dan niat manusia. Ini semua tidak boleh dirasakan dan difahami oleh AI, apatah lagi untuk merasai apa itu suatu penebusan dan kesan buruk daripada ketidakadilan.
Keadilan, antara lain, dibentuk oleh nilai-nilai kemasyarakatan dan pengalaman kita manusia berkehidupan. AI pula dibentuk oleh data. Apabila dua entiti ini bertembung di persimpangan untuk merungkai sesuatu pertikaian, kita manusia yang perlu kemudi. Bukan AI.
Tadbir Urus
Dalam era di mana AI digunakan meluas dalam pelbagai tadbir urus syarikat dan data-data terbuka, kita hanya menunggu masa sebelum AI mencium backend demokrasi yang kita junjung ini. Ahli-ahli Parlimen sudah guna AI, kita harap mereka kawal. Namun, sebelum AI dianugerahkan tempat yang sah di Parlimen, kita perlu menetapkan semula peranan AI dalam ekosistem penggubalan undang-undang. Untuk mengelakkan AI digunakan secara tidak selamat dan mengaburi peranan ahli-ahli Parlimen, ia perlu diolah supaya memperkuat mereka semua. Pendekatan hibrid — “dibantu oleh AI, dipacu oleh kita” — berupaya meningkatkan kecekapan, pada masa yang sama memelihara kesahihan demokrasi.
Bagi melonjakkan kecekapan penggubalan undang-undang Malaysia, saya mencadangkan gerak kerja di mana:
- Private LLM AI digunakan untuk membantu rutin-rutin pentadbiran penggubalan undang-undang (penjadualan, performatan, meringkaskan dokumentasi, pencarian segmen data, mempelbagaikan kandungan)
- Private LLM AI membantu menyediakan dan menganalisis data terkawal untuk perbahasan dan kajian dasar
- Manusia sendiri menentukan undang-undang apa untuk digubal, perbahasan apa yang perlu diketengahkan dan isu apa yang perlu dibangkitkan, bagi melindungi penilaian moral dan politikal
- Sumber data Private LLM AI perlu dikawal dan dibanjirkan meliputi sebanyak mana kajian yang relevan dan berasaskan fakta supaya tiada segmen demografi yang terpinggir, dengan protokol tapisan maklumat
Gerak kerja ini akan memelihara peranan manusia di dalam penggubalan undang-undang. AI boleh saja menghasilkan data, statistik dan apa-apa maklumat lain, tetapi ia tidak boleh dibenarkan untuk mengatasi dan melangkaui penilaian moral dan politikal insan-insan yang telah kami pilih sebagai wakil.
Dalam konteks yang lain, sekiranya AI digunakan, penggubal undang-undang perlu telus. Orang awam mempunyai hak untuk tahu sekiranya undang-undang atau perbahasan telah dipengaruhi oleh AI, biarpun ia sebagai suatu alat. Lagi-lagi apabila AI kini semakin giat dijadikan senjata melaporkan maklumat palsu dan maklumat salah — daripada hallucinated facts hingga deepfakes — ketelusan membawa semula kepercayaan awam kepada penggubal undang-undang. Tak mati pun jika sebut “Dibantu oleh AI” dalam perbahasan.
Pada yang masih spekulatif, ini bukanlah suatu ulasan untuk menolak jauh perkembangan teknologi. Tulisan ini hanya mahu melindungi jiwa demokrasi yang beranggapan Parlimen bukan di sini untuk jadi hamba corak dan kebarangkalian yang entah datang dari mana.
Memang, dalam dunia yang serba gila menempuhi cabaran-cabaran dasar yang makin rumit dengan perangai manusia yang makin sensitif, memang, godaan untuk menggunakan AI makin menggiurkan. Kerja sudah pun jadi semakin mudah. Namun, bak kata sahabat saya Howard Lee, dunia politik bukannya tempat bersenang-senang. Ia pentas untuk kita benar-benar dengar keluhan rakyat, duduk dan alami tiap-tiap bait mereka, guna pertimbangan moral, mengolah jadi naratif yang boleh bawa momentum, dan kumpul tenaga ramai-ramai supaya ia menjadi perubahan—yang ini baru betul kerja-kerja manusia. Apabila AI jadi perantara, tiada apa yang tinggal untuk kita melainkan saki baki dan output majoriti yang tangkap muat, lemah, tiada cerita, tiada identiti, generic, dan mudah ditelah.
Azeem Lenin ialah penulis di bawah inisiatif Malaysia100, dengan minat mendalam terhadap kecerdasan buatan (AI), pembinaan negara bangsa, dasar terbuka (open policy), dan keterbukaan data (open data). Beliau terlibat secara aktif dalam menguruskan pelbagai projek berkaitan open data, gerak kerja kreatif, dan komunikasi strategik. Melalui penulisan dan kerjanya, Azeem berusaha mendorong wacana yang lebih telus, inklusif, dan berakar pada nilai kemanusiaan.